Tuesday, October 21, 2008

Jangan bertaqlid buta kepada nenek moyang

Kuliah Tafsir
Masjid Sri Taman
Surah Al-Baqarah: 170

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللّهُ قَالُواْ بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لاَ يَعْقِلُونَ شَيْئاً وَلاَ يَهْتَدُونَ

Maksudnya:

170. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang Telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami Hanya mengikuti apa yang Telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami". "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?".


Huraian


Dalam menjalan dakwah, nabi Muhamamd berhadapan dengan bangsa Arab yang tebal dengan kepercayaan dan adat yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Orang-orang Arab Quraisy mengikut apa yang telah diwarisi daripada nenek moyang mereka dengan rasa bangga. Sememangnya berbangga dengan keturunan merupakan ciri asobiyyah Arab Quraisy pada masa tersebut.Gabungan antara kesesatan dalam bertaqlid kepada nenek moyang dan semangat asobiyyah yang menguasai mereka, mereka begitu kental dengan tradisi nenek moyang yang mereka warisi.

Justeru, apabila Rasulullah datang dengan agama baru yang merombak sistem jahiliyyah yang diwarisi dari nenek moyang terdahulu, bangsa Arab Quraisy amat berat hati menerima dakwah baginda. Mereka menjadikan amalan nenek moyang sebagai alasan mereka. Menjadi tradisi nenek moyang sebagai alasan untuk tidak mahu menerima kebenaran bukan sikap baru yang hanya muncul pertama kali di kalangan Arab Makkah. Ia telah menjadi sikap ummat terdahulu yang enggan menerima dakwah para nabi.

Firaun dan pembesar-pembesarnya yangmengengkari seruan nabi Musa juga menggunakan hujah yang sama ketika mereka menolak seruan nabi Musa.Firman Allah dalam surah ayat 78:


قَالُواْ أَجِئْتَنَا لِتَلْفِتَنَا عَمَّا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءنَا وَتَكُونَ لَكُمَا الْكِبْرِيَاء فِي الأَرْضِ وَمَا نَحْنُ لَكُمَا بِمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:

Mereka pula berkata: "Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua".
Pendeknya, helah amalan nenek moyang ini telah menjadi alasan ahlul bati sejak zaman berzaman lagi dan ia berlangsung sehingga zaman nabi Muhmaad dan zaman sekarang juga. Orang-orang Arab mengatakan bahawa apa yang mereka amalkan adalah tradisi nenek moyang yang mereka warisi dan memelihara warisan nenek moyang, menurut tanggapan mereka adalah mulia. Perasaan bahawa memelihara tradisi nenek moyang adalah tindakan mulia ada dalam fikiran orang dahulu dan ada juga dalam fikiran orang sekarang.


0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template